Operasi hari ketiga pencarian mayat pesara pegawai kewangan FELCRA, Sabari Baharom, yang dipercayai dicampak ke Sungai Padang Terap, Kampung Empa, diteruskan pada jam 10 pagi tadi.
Operasi ini melibatkan Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, Pulau Pinang, serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu.
Setakat jam 11 pagi, masih tiada petunjuk diperoleh di lokasi pencarian yang merangkumi radius 13 kilometer, bermula dari Jambatan Lubuk Batu hingga ke Jambatan Kepala Batas.
Sebelum ini, pihak polis mengesahkan Sabari dipercayai dicampak ke sungai dengan tangan terikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, menyatakan bahawa operasi pencarian ini dijalankan susulan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun.
Sabari, 62, dilaporkan hilang sejak 4 September lalu, manakala kereta Proton Waja miliknya ditemui hangus di Belantik, Sik.
Kehilangan Sabari disedari oleh anaknya selepas telefon bimbitnya dimatikan dan terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik mangsa. – JURNAL
Sumber: Berita Harian