Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei meluahkan perasaannya di media sosial setelah mengetahui bahawa kontrak bekas jurulatihnya, Hendrawan, tidak lagi disambung oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menerusi hantaran di laman Facebook, Chong Wei berkongsi betapa istimewanya Hendrawan, yang bukan hanya menjadi mentor di dalam gelanggang tetapi juga seorang abang yang sentiasa menyokongnya di saat suka dan duka.
“Jurulatih Hendrawan, anda bukan sekadar mentor, anda seperti abang saya di dalam badminton. Kesabaran, kebijaksanaan, dan minat anda terhadap sukan ini tiada tandingannya. Anda memainkan peranan penting dalam kejayaan saya,” kata Chong Wei penuh emosi.
Sepanjang kariernya, Chong Wei dan Hendrawan berkongsi pelbagai pengalaman suka dan duka. Meskipun Hendrawan kini tidak lagi bersama BAM, pengaruh dan sumbangannya terhadap badminton Malaysia akan terus dikenang.
“Terima kasih jurulatih Pak Hendrawan! Penghargaan ikhlas ini adalah atas segala sumbangan anda buat saya, keluarga, badminton Malaysia, dan seluruh komuniti badminton,” tambah Chong Wei.
BAM baru-baru ini telah menyusun semula barisan kejurulatihannya, dengan keputusan untuk tidak menyambung kontrak Hendrawan yang akan tamat penghujung tahun ini.
Hendrawan, 52, yang telah bersama BAM sejak 2009, kini meninggalkan badan tersebut bersama legasi yang tidak mudah dilupakan.
Selain Hendrawan, perubahan lain turut menyaksikan Datuk Tey Seu Bock, bekas jurulatih Chong Wei, dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja negara. – JURNAL