Dua daripada tiga suspek pembunuhan kejam seorang pekerja kilang, Iska Nurrohmah di Desa Tegal Gede, Jawa Barat, Indonesia pada Selasa minggu lalu berjaya ditahan polis semalam.
Kedua-duanya ditahan sepasukan anggota dari balai Polis Metro Bekasi dan Polis Metro Jaya menyiasat dan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
Ketua Polis Metro Bekasi, Komisaris Besar Polisi, Gidion Arif Setyawan berkata, suspek dikenali sebagai ‘N’ dan ‘MR’ masing-masing berusia 17 dan 20 tahun.
Kata beliau, berdasarkan pengakuan, mereka mulanya sekadar mahu membuat kecoh, namun niat itu terbantut kerana ada rondaan di kawasan terbabit.
“Mereka kemudian menukar rancangan untuk menyamun apabila ternampak mangsa keluar dari rumah seorang diri hendak ke tempat kerja.
“Ketika mangsa disamun, dia sempat melawan sehingga berlakunya pergelutan, namun malangnya tikaman sebanyak empat kali menusuk tubuhnya oleh suspek bernama N,” kata Gidion memetik laporan liputan6.com.
Katanya, mangsa yang cedera masih berupaya menjerit meminta tolong, lantas membuatkan suspek panik dan segera melarikan diri tanpa sempat mengambil harta milik mangsa.
“Jeritan mangsa didengari penduduk sekitar yang kemudiannya bertindak menghubungi polis.
“Malangnya, sebaik polis tiba di tempat kejadian, mangsa sudah meninggal dunia akibat kesan tikaman yang serius di bahagian ulu hati,” jelasnya.
Sebelum ini, media Tribun Timur melaporkan mangsa meninggal dalam pelukan kekasihnya hingga ada yang mendakwa lelaki itu dalang utama kes pembunuhan tersebut.
Bagaimanapun, siasatan lanjut pihak polis mendapati kekasih mangsa tidak terbabit dalam kes bunuh itu.
Selain itu, pihak polis juga memberitahu bahawa penjenayah N mempunyai rekod jenayah, malah kerap keluar masuk penjara. – JURNAL