Kerajaan tegas dalam memastikan platform media sosial mengambil tindakan dalam menangani jenayah dalam talian demi keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dalam pertemuan bersama pihak Meta semalam, menyuarakan rasa kecewa apabila Meta masih gagal membendung aktiviti jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di platform seperti Facebook.
“Meta perlu lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di platform mereka yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual ini,” tegas Fahmi dalam kenyataan hari ini.
Pertemuan tersebut turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Fauzi Md Isa; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel; serta pasukan Meta. Fokus perbincangan berkisar pada kesiapsiagaan pihak-pihak berkaitan bagi menghadapi penguatkuasaan pelesenan platform media sosial dan sistem pemesejan internet yang dijadualkan bermula pada 1 Januari 2025.
Fahmi menekankan bahawa lesen kelas ini bertujuan menangani isu-isu jenayah yang kian meningkat di media sosial, termasuk penipuan, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Saya komited untuk mendengar pandangan semua platform media sosial mengenai pelaksanaan lesen ini,” tambahnya.
Meta juga memberi komitmen untuk memberi maklum balas terhadap draf Kod Tatalaku yang diterbitkan pada 22 Oktober lalu. Menurut Fahmi, perbincangan lanjut bersama MCMC akan diadakan minggu hadapan bagi meneliti aspek tertentu dengan lebih mendalam.
“Saya menghargai kesediaan Meta untuk terus bekerjasama dalam isu pelesenan ini,” katanya, yakin bahawa usaha ini akan membawa kepada penggunaan internet yang lebih selamat untuk semua. – JURNAL
Sumber: Kosmo!