Putrajaya, 3 Oktober 2024. FINAS telah menyediakan program latihan “Penjenamaan Digital” selama tiga hari, dari 1 hingga 3 Oktober 2024, dengan penyertaan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada penggiat industri kreatif tempatan bagi memperkukuh pemahaman dan kompetensi dalam bidang berkaitan penjenamaan, penerbitan kandungan dan pengendalian platform media sosial termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Bengkel ini merupakan inisiatif strategik FINAS melalui Bahagian Pembangunan Industri, yang bekerjasama dengan KRU Masterclass Sdn Bhd.
Majlis penutup Program Pembangunan Komuniti Filem dan Belia Kreatif – Bengkel Penjenamaan Digital anjuran FINAS ini telah disempurnakan oleh Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Kamil Othman di Rimba, Wetlands Studios Putrajaya.
Dato’ Kamil, dalam ucapan penutupnya menegaskan komitmen FINAS dalam menyokong pembangunan modal insan, terutamanya dalam kalangan penggiat muda industri kreatif.
“FINAS berharap dengan program-program sebegini, komuniti filem dan belia kreatif tempatan akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran di era digital yang berubah serba pantas ini, khususnya dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
Bengkel ini menjadi salah satu usaha untuk melahirkan lebih ramai warga profesional yang mampu menguasai teknik penjenamaan digital dengan berkesan.
Program ini juga diharapkan dapat melahirkan lebih banyak penerbitan kandungan kreatif yang bukan sahaja menarik, malah mampu mencetuskan impak dalam industri kreatif di peringkat global.” ujar Dato’ Kamil.
Majlis penutup ini turut dihadiri oleh Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Masterclassm, Puan Noorzillawati Yahya, Pengarah Dasar & Perancangan FINAS, dan Encik Radzuan Asan@Hassan dari Bahagian Pembangunan Industri FINAS. – JURNAL