Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan kekecewaannya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan beliau untuk membela diri dalam kes melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai hampir RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, turut menyuarakan perasaan yang sama.
“Kami sebagai pasukan pembelaan Najib menzahirkan perasaan kecewa atas keputusan ini, dan ini turut diluahkan oleh anak guam kami,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.
Shafee menambah bahawa pihak pembelaan akan berusaha mempertahankan Najib walaupun keputusan tersebut tidak memihak kepadanya.
“Kami sama sekali tidak akan putus asa dan akan terus melawan dalam memberi pembelaan walaupun keputusan mahkamah tidak memihak kepada beliau,” ujarnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, menyatakan bahawa keputusan ini dibuat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir pendakwaan.
“Saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan intipati bagi semua pertuduhan itu,” kata Collin semasa penghakimannya.
Selepas keputusan tersebut, Najib diberi tiga pilihan, sama ada memberi keterangan secara bersumpah, memberi kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas, atau berdiam diri. Najib memilih pilihan pertama, yang membolehkannya memberi keterangan dari kandang saksi dengan pemeriksaan balas dari pihak pendakwaan.
“Najib mengambil pilihan pertama. Beliau akan memberikan keterangan dari kandang saksi,” kata Shafee, sambil menegaskan bahawa Najib tiada apa yang mahu disembunyikan. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian