Sebanyak tujuh sekolah di Kemaman mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut dan hujan batu yang melanda daerah tersebut pada petang Rabu. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong mengesahkan bahawa tiga buah sekolah telah diberi cuti peristiwa berikutan kerosakan yang serius.
“Tiga sekolah terpaksa ditutup hari ini kerana banyak bumbung diterbangkan angin, dan bilik darjah tidak dapat digunakan. Antara yang paling teruk terjejas ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, serta SK Seri Kemaman,” jelas Jelani ketika ditemui di Chukai pada Khamis.
Menurutnya, SMA Al Falah paling parah terkesan dengan hampir 80 peratus bumbungnya diterbangkan angin. Selain itu, empat lagi sekolah yang turut mengalami kerosakan tetapi masih beroperasi ialah SK Bukit Mentok, SMK Sultan Chukai, SMK Sultan Sulaiman, dan SMK Bukit Mentok.
Fenomena ribut dan hujan batu yang melanda pada kira-kira jam 4 petang juga menyebabkan seorang lelaki patah kaki kanan selepas dihempap bumbung wakaf yang runtuh berhampiran Pantai Teluk Mak Nik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kes pokok tumbang dan bumbung bangunan diterbangkan angin.
Kerja-kerja pembersihan di semua sekolah yang terjejas sedang giat dijalankan, manakala JPNT telah memohon peruntukan kecemasan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mempercepatkan proses baik pulih.
Jelani turut memaklumkan bahawa jurutera sedang membuat penilaian kerosakan sebenar, dan dijangka sesi pembelajaran dan pengajaran (PDP) dapat diteruskan seperti biasa Ahad ini.
“Untuk SMA Al Falah, Bahagian Pendidikan Islam akan membuat permohonan kepada kerajaan negeri bagi pembaikian segera kerana sekolah itu di bawah pentadbiran kerajaan negeri,” tambahnya. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian