Seorang pemandu wanita, Norizan Ismail, 49, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada 9 Oktober lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman, di mana Norizan berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun, pada jam 7.35 malam.
Jika disabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, selain sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bharu dan menetapkan 7 November sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azizan Abdullah dan Nur Azhani Azman, sementara tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
Selain itu, Norizan yang merupakan ibu kepada tiga anak, akan menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Sebelum ini, kemalangan tersebut mengorbankan tiga penuntut UiTM, sementara seorang lagi, Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, cedera. Ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian. – JURNAL
Sumber: Harian Metro