Premis dobi dan bangunan tempat kerja kini ditetapkan sebagai kawasan larangan merokok yang akan dikuatkuasakan selepas 1 Januari tahun depan.
Ini menjadikan jumlah kawasan larangan merokok meningkat kepada 28, berbanding 23 lokasi sebelumnya, di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Penguatkuasaan dibuat secara berfasa, dengan tempoh tiga bulan diberikan kepada premis untuk mematuhi peraturan tersebut. Tempat larangan yang telah diwartakan sebelum ini akan terus dikuatkuasakan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meluahkan rasa syukur kerana premis dobi akhirnya diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, satu perkara yang diperjuangkannya sejak 2019.
“Pastinya saya bersyukur akhirnya dobi menjadi kawasan larangan merokok. Tempat ini sering dikunjungi ibu-ibu dan anak-anak kecil,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan denda maksimum RM5,000. Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu, kini dikuatkuasakan secara berperingkat. – JURNAL
Sumber: Kosmo!