Bank Rakyat baru-baru ini telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM350,000 kepada 70 masjid dan surau di seluruh negara, dengan setiap institusi menerima sumbangan sebanyak RM5,000.
Sumbangan tersebut disampaikan semasa Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat yang dianjurkan secara serentak di 70 lokasi, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-70 Bank Rakyat.
Menurut kenyataan Bank Rakyat, program ini bukan sahaja sebagai tanda kesyukuran atas pencapaian dan pertumbuhan bank koperasi Islam terbesar di Malaysia, tetapi juga mencerminkan jalinan silaturahim yang kukuh antara Bank Rakyat dengan para pelanggan dan masyarakat.
“Hubungan erat inilah yang menjadi inspirasi bagi Bank Rakyat untuk terus berkhidmat dan memberikan impak positif kepada seluruh masyarakat, bukan hanya dalam aspek perbankan, tetapi juga melalui aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat,” katanya.
Sumbangan ini menunjukkan komitmen Bank Rakyat dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui inisiatif sosial yang memberi manfaat kepada semua. – JURNAL
Sumber: Harian Metro