Gabenor California, Gavin Newsom, telah menyekat rang undang-undang keselamatan kecerdasan buatan (AI) yang bakal menjadi peraturan pertama AI di AS, selepas mendapat tentangan daripada syarikat teknologi gergasi.
Rang undang-undang ini, yang diperkenalkan oleh Senator Scott Wiener, bertujuan mewajibkan ujian keselamatan bagi model AI canggih serta menambah ciri “butang kecemasan” (kill switch) untuk mematikan sistem AI jika ia menimbulkan ancaman.
Selain itu, ia juga menghendaki pengawasan rasmi bagi pembangunan sistem AI yang paling berkuasa (Frontier Models).
Beberapa syarikat besar seperti OpenAI, Google, dan Meta turut memberi amaran bahawa peraturan ini boleh menghalang pembangunan teknologi penting.
Newsom juga menyatakan bahawa undang-undang tersebut terlalu ketat dan boleh menghalang inovasi, selain tidak membezakan risiko antara sistem AI kecil dan besar.
Menurutnya, undang-undang ini tidak sesuai untuk diterapkan secara menyeluruh, malah mungkin memaksa syarikat teknologi untuk berpindah keluar dari California.
Walaupun veto ini membolehkan syarikat terus membangunkan teknologi AI tanpa sekatan ketat, Newsom mengumumkan rancangan untuk membangunkan langkah keselamatan baru dengan bantuan pakar terkemuka.
Dalam beberapa minggu terakhir, Newsom turut menandatangani 17 rang undang-undang lain untuk menangani isu seperti maklumat palsu dan deep fakes iaitu kandungan yang dihasilkan menggunakan AI.
Keputusan Newsom menerima kritikan daripada Wiener yang menyatakan bahawa tindakan ini membiarkan syarikat AI tanpa sebarang peraturan, terutamanya apabila Kongres masih gagal memperkenalkan peraturan yang bermakna terhadap teknologi ini. – JURNAL
Sumber: BBC