Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) baru-baru ini memperkenalkan Kad Kredit-i Mastercard Inspire, sebuah kad kredit patuh syariah yang direka khas untuk golongan profesional muda.
Kad ini menawarkan pengecualian fi tahunan sepanjang hayat, membolehkan pengguna menguruskan kewangan mereka dengan lebih efisien tanpa kos tambahan.
Dibangunkan bersama Mastercard, kad inovatif ini memberi manfaat eksklusif kepada graduan dan individu yang baru memulakan kerjaya, dengan sasaran utama golongan berusia 21 hingga 35 tahun yang memiliki pendapatan tahunan minimum RM36,000.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam bagi Perbankan Runcit, Mizan Masram berkata, “Kad Kredit-i Mastercard Inspire bukan sekadar alat pembayaran, ia adalah kunci untuk membuka pelbagai peluang dan memperkayakan pengalaman pengguna.”
Beliau juga menegaskan bahawa kad ini bertujuan mendidik pelanggan tentang pengurusan kewangan yang bijak, sambil memberikan peluang untuk menikmati keistimewaan yang ditawarkan.
Pelancaran kad kredit ini turut dimeriahkan dengan acara eksklusif ‘Passport to Inspire’ di Central i-City, yang menampilkan bengkel interaktif, sesi pengurusan kewangan, dan pelbagai pertandingan dengan hadiah menarik.
Menariknya, Kad Kredit-i Mastercard Inspire didatangkan dalam empat warna pilihan—’refreshing green’, ‘roaring purple’, ‘sky blue’, dan ‘lively yellow’ yang menampilkan rekaan minimalis yang sesuai dengan gaya individu muda.
Lebih istimewa, kad ini mesra alam kerana 94 peratus bahan yang digunakan adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan.
“Dengan sasaran 20 peratus golongan muda memohon kad ini sebelum akhir tahun, kami percaya ia mampu menjadi pilihan utama dalam kalangan profesional muda,” ujar Mizan.
Antara keistimewaan yang ditawarkan termasuk ‘2X TruPoints’ untuk pembelian dalam talian dan tiket penerbangan, serta mata ganjaran tanpa had untuk pembelian runcit.
Mata TruPoints ini boleh ditebus di mana-mana pedagang Mastercard di seluruh dunia melalui aplikasi mudah alih ‘Bank Islam Mastercard Pay with Rewards™’.
Kad Kredit-i Mastercard Inspire juga memberikan akses percuma sebanyak dua kali ke Plaza Premium Lounge dan potongan 20 peratus kadar tambang KLIA Ekspres, memberikan kemudahan tambahan kepada mereka yang kerap melakukan perjalanan.
Sempena pelancaran ini, Bank Islam menawarkan promosi khas dari 1 Oktober hingga 31 Disember.
Pemegang kad baharu yang membuat perbelanjaan minimum RM100 dalam satu transaksi akan menerima baucar Grab bernilai RM30 yang boleh digunakan untuk perkhidmatan GrabFood dan GrabRide. – JURNAL
Sumber: Harian Metro