Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan akan mengambil tindakan saman terhadap satu jenama jeli dan teh herba traditional Cina.
Menerusi ciapan di laman X, beliau mendakwa syarikat berkenaan menggunakan nama dan imejnya dalam meningkatkan jualan mereka.
Dakwanya, tindakan itu adalah salah serta taktik pemasaran sebegitu dianggap tidak bertanggungjawab kerana bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.
“Ini adalah satu lagi pemasaran yang tidak bertanggungjawab, menggunakan nama saya dan gambar oleh syarikat berkenaan bertujuan untuk menipu orang ramai. Sungguh perbuatan yang memalukan,” katanya.
Dalam ciapan berkenaan, Dr Noor Hisham turut berkongsi gambar yang menggunakan imejnya pada produk terbabit.
This is another irresponsible marketing using my name and photos by Koong Woh Tong, intended to cheat the public. What a shameful act. It leaves me no choice but to take Koong Woh Tong to court. How much do you think I should sue them? May this be a lesson to other companies? At… pic.twitter.com/YMdwIROWTY
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) November 18, 2023
Sebelum ini, Dr Noor Hisham ketika menerajui KKM memaklumkan, ketika pandemik COVID-19, pakar dari China mencadangkan untuk membuat rawatan tambahan untuk membuat akupuntur serta ubat ubatan herba bagi mencegah jangkitan serta mempercepatkan pemulihan selepas dijangkiti virus terbabit.
Berikutan itu, pemilik produk itu menggunakan keratan akhbar berkaitan isu berkenaan dan mengaitkannya dengan jenama terbabit.
“Ia mengelirukan untuk dikaitkan dengan produk berkenaan,” katanya dalam bebenangnya.
Katanya, disebabkan itu beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terjadap jenama terbabit.
“Ia menyebabkan saya tiada pilihan selain membawa syarikat berkenaan ke mahkamah. Berapa banyak yang anda fikir saya patut menyaman mereka?
“Semoga ini menjadi pengajaran kepada syarikat lain? Sekurang-kurangnya jika saya menang, saya boleh berkongsi kemenangan dengan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – JURNAL