Pelbagai agensi berita di India melaporkan bahawa pendakwah Islam, Dr Zakir Naik, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India mungkin ditahan di Oman dan dihantar pulang ke negara itu.
Menurut laporan media yang memetik agensi perisikan India mendakwa, pihak berkuasa Oman sudah diminta menahan Zakir ketika melawat Oman hari ini bagi menyampaikan ceramah agama.
Dilaporkan kedutaan India di Oman kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menahan dan menghantar pulang Zakir mengikut undang-undang tempatan.
Kedutaan India mungkin menghantar pasukan undang-undang untuk tindakan susulan selepas penahanan itu.
Menurut laporan, pihak berkuasa tempatan mungkin mewajibkan perintah penahanan.
Terdapat kemungkinan besar pegawai Oman boleh menahan pendakwah kontroversi itu ketika ketibaannya dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak berkuasa India.
Menurut laporan, Kementerian Luar Negeri (MEA) juga membangkitkan isu itu dengan Duta Besar Oman.
Naik menerima jemputan untuk menyampaikan dua khutbah agama di negara itu bertajuk ‘Al-Quran Keperluan Global’ dan ‘Nabi Muhammad Pembawa Rahmat Kepada Manusia’.
Kuliah pertamanya ditetapkan hari ini, hari pertama Ramadan dan kuliah kedua akan diadakan pada 25 Mac di Universiti Sultan Qaboos.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada pendakwah Islam itu akan meneruskan kedatangannya memandangkan berita kemungkinan penahanannya sudah disiarkan oleh media India.
Pendakwah itu menetap di Malaysia. Zakir sebelum ini mengelak pihak berkuasa India sejak namanya mula muncul dalam kes berkaitan keganasan.
Pada 2016, pengganas yang terbabit dalam kes letupan Dhaka mendakwa mengakui mereka terpengaruh dengan ucapan pendakwah itu.
Pada 2019, Zakir dilarang berucap di Malaysia selepas dia membuat komen berbaur perkauman terhadap penganut Hindu dan Cina di negara ini. Beliau disoal siasat selama berjam-jam berhubung perkara sama.
Zakir dikehendaki di India dalam kes membabitkan kebencian kaum, pembiayaan keganasan, pengubahan wang haram dan ucapan kebencian.
Beliau adalah pengasas rangkaian TV Keamanan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF). Pada 2016, IRF diisytiharkan haram di India. Rangkaian televisyen TV Peace beliau diharamkan di India, Bangladesh, Kanada, Sri Lanka dan United Kingdom yang didakwa menjaja propaganda kebencian. – JURNAL
Sumber: BH Online