Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menzahirkan kesyukuran kerana mendapat kembali pasport antarabangsa dan pasport diplomatiknya secara kekal seperti diputuskan Mahkamah Rayuan, hari ini.
“Alhamdulillah, Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan perintah supaya pasport antarabangsa saya diserahkan.
“Ini membolehkan saya melaksanakan tugas rasmi khususnya membabitkan lawatan rasmi dan menghadiri mesyuarat atau persidangan di peringkat antarabangsa.
“Tentunya ini memberikan makna yang cukup baik untuk saya dan saya hargai keputusan mahkamah khususnya ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan daripada peguam saya untuk (membolehkan) Yang Arif (hakim) memberi keputusan itu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Santunan Kasih Ramadan peringkat negeri di Masjid Jamek Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam, Melaka.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; dan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda) merangkap Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam, membuat keputusan membenarkan Ahmad Zahid mendapatkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.
Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.
Sementara itu, majlis anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu dihadiri lebih 1,500 penduduk negeri termasuk pelajar beberapa tahfiz dan asnaf yang dirai dalam majlis berbuka puasa di perkarangan masjid berkenaan.
Sumbangan turut disampaikan kepada lapan pusat tahfiz berserta duit raya selain mengagihkan lima geran daripada (Risda) bernilai RM60,000. -JURNAL
Sumber: Harian Metro