Lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Penjara Kajang bagi bertemu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mendapat kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebenaran khas itu diberikan mengikut Bahagian 10, Peraturan 86, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Katanya, permohonan mengenai lawatan itu kemudian dimaklumkan Nordin kepadanya bagi tujuan proses seterusnya.
“Ketua Pengarah Penjara maklum kepada saya, saya tahu, kemudian prosedurnya seterusnya diberikan Ketua Pengarah Penjara. Itu kaedah saja, tiada masalah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid sebelum ini dilapor berkongsi pengalaman bertemu dengan Najib di Penjara Kajang.
Katanya, beliau sempat bersarapan dengan Najib dan membawa makanan kegemarannya untuk dimakan bersama.
Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, semasa pertemuan, beliau meluangkan masa kira-kira lebih satu jam bersama Najib.
Mengulas mengenai tempoh masa lawatan, Saifuddin berkata, pegawai penjara adalah pihak yang mempunyai autoriti bagi membuat keputusan pada masa itu.
“Soal masa 30 minit ke, 40 minit ke, 45 minit ke, pertemuan itu dengan kehadiran pegawai penjara.
“Pegawai penjara ialah pihak yang mempunyai autoriti untuk membuat keputusan pada waktu itu,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh semasa lawatan yang dibuatnya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara di Sungai Buloh sebelum ini.
“Kadang-kadang saya dapat 15 minit, kadang-kadang saya dapat 30 minit. Jarang-jarang sangat saya dapat 40 minit. Bergantung budi bicara pegawai pada ketika itu,” katanya.
Menyentuh mengenai membawa makanan dari luar, Saifuddin berkata, ia tertakluk kepada Peraturan 99 iaitu kebenaran pegawai yang menjaga pada ketika itu.
“Peraturan 99 adalah dari hal makanan dari luar. Tiada seorang pun pelawat boleh dibenarkan membawa masuk apa-apa makanan dari luar melainkan jika dibenarkan oleh pegawai yang menjaga,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO