PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, insiden pencerobohan melibatkan pencipta kandungan Youtube, Driftershoots merupakan kejadian 1 Mei tahun lalu.
Jelas syarikat itu lagi kesemua empat penceroboh tersebut sudah ditahan polis dan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, pada hari yang sama.
Bagaimanapun hukuman yang dikenakan kepada mereka tidak didedahkan.
Dalam pada itu, PNBMV menyelar segala perbuatan haram yang menyalahi undang-undang dan berbahaya sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan pekerja di tapak pembangunan.
“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram.
“Kami ingin menekankan bahawa tapak Merdeka 118 masih aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan keselamatan adalah keutamaan kami. Justeru, PNBMV akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya.
“Menceroboh merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Media pada Selasa melaporkan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots memuat naik video mereka memasuki menara tersebut yang dikatakan dilakukan pada 30 Disember lepas.
Video tersebut antara lain menunjukkan cara mereka menyelinap masuk ke dalam menara itu dan kemudian meraikan kejayaan selepas menawan menara tersebut. -JURNAL