Skuad hoki remaja negara, Young Tigers berjaya melangkah ke Piala Dunia Remaja 2025 di India walaupun tewas 1-4 kepada Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Remaja Asia 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat, kelmarin.
Kekalahan itu tidak menghalang pasukan bimbingan I. Vikneswaran menempah slot ke separuh akhir kejohanan, sekali gus menyambar salah satu daripada enam tiket yang ditawarkan untuk ke Piala Dunia.
Ketua jurulatih, Vikneswaran, melahirkan rasa bangga terhadap persembahan anak buahnya walaupun gagal menyempurnakan beberapa peluang penting sepanjang perlawanan.
“Kita mendapat penalti stroke seawal minit kedua tetapi gagal menyempurnakannya. Walaupun memiliki lebih banyak penguasaan bola, pukulan sudut penalti, dan peluang jaringan, keputusan tidak memihak kepada kita,” katanya.
Young Tigers bakal berdepan cabaran sengit menentang India di separuh akhir hari ini. Perlawanan ini bukan sahaja peluang membuktikan kemampuan mereka, tetapi juga penanda aras untuk strategi pasukan menjelang Piala Dunia.
“Saya bangga dengan corak dan mutu permainan pemain hari ini. Perlawanan separuh akhir menentang India akan menjadi ujian penting buat kami, tetapi yang paling bermakna adalah kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia,” tambah Vikneswaran.
Jurulatih itu turut menegaskan bahawa persiapan rapi akan dilakukan menjelang perlawanan menentang India.
“Kami akan menjalankan sesi analisa dan membuat beberapa perubahan taktikal untuk memastikan pasukan bersedia menghadapi cabaran seterusnya,” jelasnya.
Kini, tumpuan sepenuhnya diberikan untuk menyaingi India sambil meneruskan semangat juang tinggi yang dipamerkan sepanjang kejohanan. – JURNAL
Sumber: Kosmo!