Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menikmati santapan pagi bersama rakyat serta warga kerja Seri Paduka di sebuah restoran di ibu negara, hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi baginda, Seri Paduka meluangkan masa beramah mesra dan bergambar dengan rakyat yang hadir. “Rakyat juga teruja berpeluang bertemu secara langsung dengan Seri Paduka,” jelas hantaran tersebut.
Selepas selesai menikmati santapan pagi, Sultan Ibrahim turut berkenan berjalan kaki untuk meninjau kebersihan serta keadaan persekitaran di Kuala Lumpur.
Seri Paduka amat prihatin terhadap kebersihan dan kesejahteraan awam, seiring dengan usaha memastikan Kuala Lumpur terus kekal sebagai bandar raya yang bersih, teratur dan selesa untuk penduduknya.
Ini memperlihatkan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kesejahteraan rakyat serta menyokong usaha pemeliharaan kebersihan bandar raya, yang pastinya memberi impak positif terhadap imej Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara. – JURNAL