Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee kini membuat kemunculan semula ke arena politik dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dikenali dengan gelaran ‘YB Beliau’, Norhizam mengesahkan penglibatannya dalam pemilihan kepemimpinan Bersatu bulan depan, namun masih merahsiakan jawatan yang bakal ditandinginya.
Selepas tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 sebagai calon Bebas, Norhizam kini kembali dengan membawa nama parti yang disifatkannya mampu memperjuangkan nasib orang Melayu.
“Ini langkah awal saya untuk buat ‘come back’ dan saya menyertai parti ini secara diam-diam,” kata Norhizam ketika ditemui di Klebang, malam tadi.
Difahamkan, Norhizam sedang mempertimbangkan untuk bertanding salah satu jawatan tertinggi Bersatu di bahagian Hang Tuah Jaya, dengan pemilihan dijadualkan serentak di seluruh negara pada Sabtu ini.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Norhizam memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu atas tiket DAP sebelum bertindak keluar parti pada 2020 dan menjadi calon Bebas yang menyokong pembentukan kerajaan Umno di Melaka. Walau bagaimanapun, beliau tewas dalam PRN Melaka 2021 setelah memperoleh 1,218 undi, dengan kerusi tersebut dimenangi oleh calon BN, Datuk Kalsom Nordin.
Walaupun kalah, Norhizam berjaya meraih undi tertinggi dalam kalangan calon Bebas yang bertanding, dan kini selepas tiga tahun, beliau kembali bersiap sedia untuk berjuang dalam kancah politik bersama Bersatu.
Buat masa ini, Norhizam menjalankan perniagaan sendiri selepas meninggalkan dunia politik selama tiga tahun. – JURNAL
Sumber: Harian Metro