Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin mpox keluaran syarikat Jepun, KM Biologics, bagi kegunaan kecemasan pada Selasa. Vaksin LC16m8 ini menjadi yang kedua mendapat kelulusan WHO untuk menangani wabak mpox yang semakin meningkat.
Menurut WHO, kelulusan senarai penggunaan kecemasan (EUL) diberikan bagi mempercepatkan akses kepada vaksin, khususnya di komuniti yang terjejas teruk akibat peningkatan kes.
“Kelulusan ini adalah langkah penting dalam tindak balas kecemasan kami, menyediakan pilihan baharu untuk melindungi semua populasi, termasuk kanak-kanak,” kata Yukiko Nakatani, Penolong Ketua Pengarah WHO bagi akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan.
Vaksin LC16m8 menyusuli kelulusan WHO terhadap vaksin MVA-BN keluaran Bavarian Nordic pada September lalu, dalam usaha memperkukuhkan perlindungan terhadap wabak mpox.
WHO turut mengisytiharkan darurat antarabangsa pada 14 Ogos lalu, berikutan peningkatan kes strain baharu Clade 1b di Republik Demokratik Congo (DRC) yang kini merebak ke negara jiran. Tahun ini sahaja, lebih 39,000 kes disyaki dan lebih 1,000 kematian dilaporkan di 80 negara, dengan DRC menjadi negara paling teruk terjejas.
Sebagai langkah sokongan, kerajaan Jepun mengumumkan sumbangan 3.05 juta dos vaksin LC16m8 beserta jarum suntikan khas ke DRC. WHO menyifatkan ini sebagai “pakej sumbangan terbesar dalam menangani krisis mpox semasa.”
Namun, WHO memberi amaran bahawa vaksin ini tidak sesuai untuk digunakan oleh wanita hamil atau individu yang mempunyai sistem imun lemah.
Mpox, dahulunya dikenali sebagai monkeypox, disebabkan oleh virus yang boleh berpindah daripada haiwan kepada manusia atau melalui kontak fizikal rapat. Gejalanya termasuk demam, sakit otot, dan ruam besar seperti bisul yang boleh membawa maut.
Kelulusan ini diharapkan dapat memperkukuhkan langkah global dalam menangani wabak yang sedang melanda. – JURNAL
Sumber: WHO