Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan taktik penipuan baharu kononnya waran tangkap telah dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk memperdaya mangsa.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, waran tangkap itu mengarahkan polis untuk menahan mangsa dalam tempoh 24 jam kerana melakukan kesalahan tertentu.
“Polis mengesan ‘arrest warrant’ yang dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
“Pesalah yang ditahan juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin oleh mana-mana pihak termasuk peguam,” katanya dalam kenyataan hari ini
Kata beliau, sindiket berkenaan turut mengugut kononya akan membeku dan menyita aset malah mangsa juga tidak dibenarkan ke luar negara.
Menurut Rohaimi, PDRM tidak pernah sama sekali menerima waran tangkap atau apa-apa arahan seperti itu daripada mana-mana pihak.
“Justeru, orang ramai diminta untuk membuat semakan dengan agensi berkaitan atau balai polis berhampiran atau hubungi CCID Infoline di talian 0132111222 untuk sebarang pertanyaan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga semua pihak diingatkan tidak menuruti sebarang arahan diterima melalui ‘arrest warrant’ berkenaan kerana ia adalah satu penipuan,” jelasnya.
Tegas beliau, sebagai langkah pencegahan orang ramai adalah dinasihatkan lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihan. – JURNAL
Sumber: KOSMO!