Majalah terkenal GQ edisi Timur Tengah menobatkan wartawan foto Palestin, Motaz Azaiza sebagai Man of the Year kerana keberaniannya merakam kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza.
Azaiza yang menjadi terkenal selepas Gaza diserang tanpa belas ihsan pada 7 Okt lalu juga disifatkan sebagai simbol keberanian.
Dia telah mencetuskan inspirasi kepada dunia menerusi perkongsian mengenai kesengsaraan mangsa perang di laman sosial termasuk Instagram.
“Azaiza mengingatkan kami bahawa tidak kira adakah anda berkuasa, siapa anda, dari mana asal usul anda — kita semua adalah sama. Manusia biasa, sama ada lelaki atau wanita, kita sama-sama boleh mengubah apa yang ingin kita lihat (dengan lebih baik),” ujar pengarang GQ, Ahmad Ali Swaid.
“Dengan sikap berani membongkar kebenaran di sebalik kuasa besar yang digeruni, kami mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Azaiza,” tambahnya lagi.
Nama Azaiza menjadi sanjungan umat Islam di seluruh dunia selepas melihat keberaniannya berkongsi kejadian sebenar di Gaza sehingga dia perlu mencari perlindungan selepas diancam puak rejim Zionis.
Azaiza kini memiliki lebih 15 juta pengikut di Instagram yang sentiasa mendoakan perjuangannya. – JURNAL
Sumber: AWANI