Menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Syarikat Naelofar mempertaruhkan koleksi yang bertemakan Warisan.
Pengasas syarikat pengeluar tudung terkenal itu, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa berkata, tema tersebut dipilih demi mengangkat warisan kebudayaan Melayu yang segar dan tidak lapuk zaman.
“Kekeluargaan, warisan dan nilai-bilai Melayu adalah penting untuk kita semua. Jadi Naelofar ingin membawa kembali tradisi-tradisi lama kita menerusi kempen raya tahun ini.
“Dari tahun ke tahun kita semakin moden dari baju, cara beraya. Jadi kita mahu kembalikan tradisi yang memang dalam diri kita sebenarnya.
“Jadi selain koleksi tudung, kita juga ada poskad raya…Kali ini memang kami betul-betul mahu kembalikan nostalgia raya kita dulu-dulu,” katanya.
Neelofa ditemui pada Majlis Pelancaran Koleksi Warisan di Butik Naelofar, KL East Mall pada Selasa.
Berbeza daripada kempen Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, Warisan dipromosikan dengan cetusan revolusi teknologi iaitu tingkap interaktif (window display).
Tidak menafikan tingkap interaktif dilaksanakan dengan belanja yang besar, Neelofa berkata, pihaknya turut menggunakan pasukan pakar teknologi antarabangsa untuk menjayakannya.
Kata Neelofa, idea untuk memaparkan tingkap interaktif muncul selepas melihat suasana sambutan perayaan di luar negara yang meriah dan mereka turut menggunakan teknologi sama.
“Saya banyak berjalan ke luar negara, jadi saya tengok mereka selalu ada sambutan besar-besaran dan meriah setiap kali ada sambutan perayaan.
“Jadi daripada situ timbul idea untuk membawa kemeriahan tersebut ke dalam kempen Warisan ini,” katanya.
Ujar selebriti itu lagi, sebanyak empat daripada lapan butik Naelofar seluruh negara akan dipaparkan dengan tingkap interaktif yang mana pengunjung akan dapat merasai pengalaman rumah kampung dan banyak lagi melalui paparan dan susur atur dalam skrin yang ditayangkan.
“Kalau jenama lain selalunya all out dalam fashion show menjelang Aidilfitri tapi Naelofar mahu mencetuskan kelainan iaitu kami bawakan window display ini.
“Menerusi window display itu nanti akan ada hologram saya yang boleh beriteraksi dengan para pelanggan. Anda boleh bertanya soalan dan hologram itu akan menjawabnya selain berinteraksi dengan beberapa gerakan,” katanya teruja.
Selain Neelofa sendiri, dua lagi wajah teraju Kempen Warisan 2023 adalah Hawa Rizwana dan Ayana Jihye Moon. – JURNAL