Warga kota digalakkan untuk memberikan cadangan serta pandangan berkenaan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) bagi memastikan pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberikan penekanan yang sewajarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelan tersebut dirangka bagi memastikan segala perancangan mendapat input warga kota dan juga pemegang taruh yang terlibat.
Tambah beliau, selepas sesi pengemukaan pandangan dan cadangan Draf PTKL2040 selesai, ia dijangka akan diwartakan pada suku pertama tahun 2025.
“Perkara ini turut mengambil kira pelaksanaan Sesi Pendengaran dan Padangan Awam (PPA) selaras pengesyoran berdasarkan penemuan pada sesi tersebut dan juga penelitian oleh Lembaga Penasihat Perancangan peringkat Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Mulai esok, beberapa sesi pameran akan dijalankan di beberapa lokasi untuk memastikan orang ramai tahu tentang PTKL2024 dan dapat mengemukakan cadangan serta pandangan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang akhbar Mailis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (Draf PTKL2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Tambah Dr. Zaliha, sebarang cadangan atau pandangan boleh dikemukakan di lokasi pameran atau di laman sesawang sesawang https://ppkl.dbkl.gov.my/e-pandangan/.
“Kami akan buka ruang untuk orang ramai beri pandangan selama satu hingga tiga bulan. Kami akan lihat semua perkara yang dibangkitkan kemudian barulah digazetkan pada tahun 2025.
“Saya berharap, semua dapat memainkan peranan bagi memastikan pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya.
Draf PTKL 2040 merupakan kerangka utama terhadap pelan pembangunan Kuala Lumpur vang disediakan bagi menterjemah visi serta matlamat yang digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Ia secara khusus memberikan penekanan terhadap perancangan cadangan zon guna tanah dan intensiti pembangunan secara spesifik ke atas setiap lot tanah di Kuala Lumpur.
Orang ramai boleh menyemak draf PTKL 2040 bermula 31 Januari 2024 sehingga 1 Mac 2024, di Menara DBKL 1 dan 3 serta di pameran bergerak yang bakal diadakan di 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur. – JURNAL
Sumber: KOSMO!