Mayat seorang warga emas ditemukan dengan berbalut langsir dipercayai maut akibat dibelasah anak kandung sendiri di kediaman mangsa di kediaman mangsa, sekitar PJS10, di sini, Jumaat lalu.
Menurut sumber, mayat lelaki berusia 70-an itu ditemui kira-kira 2 pagi, di tepi jalan berhampiran Kondominium Suriamas, di sini, tidak jauh daripada rumah keluarga itu.
“Siasatan di lokasi mendapati mangsa cedera di bahagian kepala, tangan kiri patah dan kesan lebam di bahagian dada.
“Pemeriksaan di rumah mangsa menemui kesan tompokan darah di dinding dan pintu bilik tidur mangsa serta kesan seretan di ruang tamu,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan pada sebuah kenderaan disyaki digunakan untuk mengangkut mayat mangsa turut menemui kesan tompokan darah.
“Hasil soal siasat, suspek yang juga anak kandung mangsa mengaku memukul bapanya sehingga menyebabkan kematian.
“Suspek terbabit bertindak membalut mangsa menggunakan langsir sebelum meletakkan mayat mangsa di tepi jalan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling
Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan sidang media mengenai kes berkenaan hari ini. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO