Seorang wanita dikenali sebagai Nor Idayu Supian meluahkan rasa syukur apabila rintihannya mengenai masalah air yang dihadapinya di Kelantan mendapat perhatian.
Perkara tersebut berlaku selepas isteri kepada personaliti media sosial terkenal Syami Sazli dikenali sebagai Anissa Faizul, memberi respons terhadap keluhannya di Facebook sebelum ini, menjadi tular.
“Syukur sangat apabila kes saya terus diberi perhatian selepas Syahmi dan Anissa memberi respons terhadap apa saya adukan di Facebook.
“Disebabkan nama mereka besar dan berpengaruh, lebih cepatlah kerajaan ambil tindakan.
“Lagipun dah tinggal beberapa hari saja lagi nak mengundi. Saya dah lama hadapi masalah ni. Saya pun fikir memang ini masa terbaik untuk ambil peluang luahkan semua masalah air ni,” katanya.
Menurut Nor Idayu atau Ayu, dia dihubungi Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada 4 Ogos.
“Saya buat satu hantaran dekat grup Facebook Pasir Mas tu sebab sudah tak tahan dengan masalah tak ada air di rumah saya di Kelantan.
“Tak sangka lepas hantaran tu tular, wakil daripada Exco Kelantan datang malam tu juga berjumpa saya di rumah. Katanya hantaran saya buat itu viral sampai ke pihak mereka,”katanya.
Difahamkan Mohd Nassuruddin kemudian mewakilkan anaknya iaitu Ahmad Syakir untuk ke rumah wanita itu bagi meninjau situasi sebenar berhubung dakwaan terputus bekalan air bersih sejak enam bulan lalu.
Ayu berkata, bantuan bekalan air akhirnya disalurkan ke tangki rumahnya oleh Air Kelantan Sdn Bd (AKSB) pada pagi Sabtu.
“Jadi keesokannya iaitu pada Sabtu, mereka hantar bekalan air menggunakan lori tangki ke rumah saya. Tetapi hanya rumah saya saja yang terima bantuan tu sebab mereka anggap saya saja buat aduan. Lagi 15 rumah lain di kawasan sini tak dapat,” katanya.
Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, selain memenuhkan tangki air di rumahnya di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas, pihak AKSB turut memeriksa bagi mencari punca masalah air tidak sampai.
Menurut Ayu, perumahannya dikategorikan sebagai kawasan bertekanan rendah hingga menyebabkan penduduk sukar menerima bekalan air.
Tidak cukup dengan bekalan air, Ayu berkata dia sangat tersentuh apabila Syahmi turut menghubunginya dan menawarkan untuk memberikan sumbangan penapis air berharga RM2,798 yang dihantar oleh wakil syarikat LK LUx di Pengkalan Chepa pada pagi Isnin. – JURNAL
Sumber: MSTAR ONLINE