Seorang wanita di New York memfailkan saman terhadap bekas juara tinju dunia, Mike Tyson yang didakwa merogolnya dalam sebuah kenderaan limosin selepas mereka bertemu di kelab malam pada awal 1990-an.
Wanita itu yang dirahsiakan identitinya menuntut ganti rugi AS$5 juta (RM21.35 juta) dan memfailkan aduannya pada awal Januari lalu di bawah undang-undang sementara negeri New York yang membenarkan mangsa serangan seksual mendapatkan ganti rugi sivil tanpa mengira statut pengehadan.
Dalam afidavit bertarikh 23 Disember 2022, plaintif berkata, dia bertemu dengan Tyson di Tyson di Albany dan kemudian mengikut petinju itu ke limosin dan kemudian dia diserang sebelum dirogol.
“Saya mengalami trauma fizikal, psikologi dan emosi selama bertahun-tahun akibat kesan dirogol,” katanya.
Tyson sebelum ini pernah menghabiskan hukuman penjara selama tiga tahun pada tahun 1992 selepas didapati bersalah merogol seorang model, Disiree Washington yang ketika itu berumur 18 tahun.
Bagaimanapun, afidavit itu tidak menyebut tarikh sebenar untuk serangan rogol terbabit, ia cuma menyatakan kejadian berlaku pada awal 1990-an.
Tempoh itu dakwaan serangan itu berlaku adalah sekitar kejadian rogol dialami Disiree, cuma wanita berkenaan memberitahu lokasi dia dirogol adalah di Indianapolis.
Mangsa turut memberitahu, dia terserempak dengan Tyson di sebuah tempat dipanggil Septembers dan kemudian menaiki limosin bekas peninju itu selepas ditawar untuk mengambil rakannya dan kemudian ke sebuah parti.
Wanita terbabit juga mendakwa Tyson meraba dan cuba mencium dirinya selepas dia menaiki limosin itu.
“Saya katakan tidak beberapa kali dan memintanya untuk berhenti, tetapi dia terus menyerang saya. Tyson kemudian menarik seluar dan merogol saya dengan ganas,” katanya.
Namun hingga kini, Tyson tidak mengeluarkan sebarang kenyataan awam berhubung dakwaan ke atasnya.
Tyson dilahirkan di Brooklyn dan pernah menjadi juara tanpa dikalahkan pada tahun 1980-an. Dia menjadi petinju paling digeruni pihak lawan.
Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara, Tyson gagal mengekalkan kejuaraannya itu.
Tyson juga pernah menggigit telinga lawannya Evander Holyfield pada perlawanan paling diingati dalam sejarah tinju tahun 1996. – JURNAL