Punca kematian wanita hamil yang mayatnya ditemui terbakar di kawasan belukar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau di sini, Isnin lalu disahkan akibat luka tikaman di dada.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata keputusan itu diperoleh selepas bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh, pada Jumaat (semalam).
BACA: Teman Lelaki Tikam, Toreh Dan Bakar Kekasih Dua Kali Kerana Mahu Sembunyikan Kehamilan
“Sebab kematian mangsa adalah kerana luka tikaman di dada selain badan yang melecur,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Agus Salim berkata, mayat wanita berusia 21 tahun itu sudah dituntut keluarga dan reman terhadap suspek lelaki berusia 20 tahun yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pula akan berakhir 29 Mei.
Sementara itu, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan, semalam.
Majlis pengkebumian yang selesai jam 8.25 malam dihadiri ahli keluarga, sahabat, jiran dan penduduk kampung.
Terdahulu, jenazah wanita yang selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh dibawa dengan kenderaan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) dan tiba di Surau Ulumuddin, Kampung Nelayan, jam 7.23 malam.
Media melaporkan motif pembunuhan wanita malang itu dipercayai kerana mahu merahsiakan kehamilan empat bulan akibat terlanjur.
Pasangan itu dipercayai menjalin hubungan selama setahun. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE