Pendakwah Ahmad Dusuki Abdul Rani menegur tindakan seorang wanita berbaju kurung dan bertudung memegang tin minuman keras dipercayai sedang berhibur di sebuah pusat hiburan.
Rakaman video berdurasi 16 saat yang tular itu dikongsi di aplikasi TikTok mendapat perhatian warganet.
Video tersebut turut memaparkan beberapa individu lelaki dan perempuan bertudung menari mengikut rentak muzik.
Semakan di TikTok mendapati video berkenaan dimuat naik satu akaun pada 1 Januari lalu dengan keterangan selamat tahun baru 2023.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut memuat naik hantaran bersama tangkap layar video berkenaan yang mendapat perhatian warganet di Facebook.
Rata-rata warganet kesal dengan tindakan individu terbabit dan menyifatkan ia mencemarkan imej wanita bertudung dan mempersendakan Islam.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ahmad Dusuki berkata, aksi wanita itu boleh menimbulkan fitnah dan buruk sangka sekali gus mencemarkan imej wanita Muslim dan agama Islam.
Tambah pendakwah itu lagi, seseorang yang melakukan kemaksiatan seharusnya menyembunyikan dan tidak bermegah dengan perkara itu.
@beautifulnara Healing next level #viral #trending #sembangentertainment #fyp #beautifulnara #healing #club #clubbing #bertudung #wanita #minum ♬ original sound – Beautifulnara.com
“Sebenarnya walaupun tidak minum (minuman keras) tetapi tidak boleh buat (memegang) kerana menimbulkan fitnah yang menyebabkan berlaku buruk sangka orang apatah lagi meminumnya.
“Kalau minum, itu menunjukkan tindakan melampau dan ingkar perintah Allah SWT kerana kita dilarang membuat maksiat (meminum minuman keras).
“Kalau buat maksiat jangan tunjuk, namun ia tidak bermakna menyokong tetapi maksiat tak boleh dimegahkan dan tunjuk di khalayak ramai sebab dikhuatiri mempengaruhi orang lain,” katanya.
Ahmad Dusuki turut mengingatkan seseorang itu tidak seharusnya ada rasa sombong dan ego dengan maksiat yang dilakukan dengan mempamerkannya sedangkan Allah SWT sudah menyembunyikan aib mereka.
“Bertudung adalah satu kebaikan (menutup aurat) tetapi melakukan perkara itu, menunjukkan tin minuman keras, ia menimbulkan fitnah walaupun kita tidak tahu dia minum atau tidak.
“Menambah mempengaruhi orang lain melakukan larangan agama juga adalah berdosa,” katannya. – JURNAL
Sumber: Harian Metro