Hujung minggu lalu warganet digemparkan dengan pendedahan seorang wanita mengenai kecurangan suaminya yang juga pempengaruh terkenal, View Chin.
Bahkan, terdapat juga rakaman CCTV menunjukkan bekas isteri Chin itu yang bernama Shermine menjadi mangsa pukul lelaki terbabit.
Disebabkan kecurangan yang Chin lakukan, tempias kontroversi itu turut terpalit tempiasnya ke atas seorang lagi pempengaruh popular berbangsa Cina iaitu Boss James.
Ini kerana terdapat seorang warganet meninggalkan komen berbaur kecewa di entri Facebook kerana menyangka individu dikaitkan dengan kes curang itu adalah James.
“Bro, lepas tengok you pukul bini, I unfollow you. Kesian la dekat bini you. Jangan gatal dengan staf ya!” memetik komen tersebut.
Menarik perhatian ramai, James telah membalas komen pengguna Facebook itu dengan satu teguran keras.
“Helo bang, tengok baik-baik siapa yang buat tu bang. Jangan main tembak macam tu!” bidas James menjawab cemuhan warganet terbabit.
Reaksi netizen pula, ramai yang terhibur apabila melihat komen tersebut di Twitter dan meraih lebih daripada 1699 retweets sejak dimuat naik semula pada Ahad lalu. – JURNAL