Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membuat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dengan konsep baharu yang lebih fokus mengikut zon dan tarikan utama di setiap negeri.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, menegaskan keputusan ini dibuat kerana video promosi yang dihasilkan sebelum ini tidak menepati standard dan berpotensi mengelirukan pelancong.
“Saya tidak berpuas hati dengan video berkenaan. Ia terlompat-lompat – sekejap Pahang, sekejap Perak, sekejap Selangor. Kalau Pahang, terus promosi Pahang, jangan lompat ke negeri lain kerana pelancong luar negara boleh keliru. Kita mahu promosi secara serius,” katanya semasa Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Wilayah Tengah 2025.
King Sing menjelaskan, video berdurasi 41 saat yang dilihat ramai sejak semalam bukanlah video rasmi untuk promosi TMM 2026, tetapi hanya montaj sementara sempena pelancaran logo rasmi acara itu.
“Kelmarin kita hanya rasmi logo, bukan video promosi. Montaj itu tidak boleh dijadikan bahan rasmi untuk promosi,” jelasnya lagi.
Video berkenaan mencetuskan kontroversi apabila kritikan timbul, termasuk daripada pihak pembangkang, kerana tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan rumah ibadat lain seperti gereja dan kuil jelas dipromosikan.
Mengulas isu ini, King Sing memberi jaminan bahawa elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci dan profesional.
Beliau turut mengingatkan agar tiada pihak mempolitikkan atau membangkitkan isu perkauman dan keagamaan susulan montaj tersebut.
“Jangan kelirukan masyarakat kita dan beri tekanan dengan mempolitikkan perkara ini, sama ada melalui media atau media sosial,” tegasnya.
MOTAC kini berusaha untuk menghasilkan video promosi yang mampu menonjolkan keindahan dan keunikan setiap negeri tanpa meninggalkan mana-mana elemen penting untuk tarikan pelancong global. – JURNAL
Sumber: Berita Harian