Juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan spekulasi perpindahan pemain naturalisasi, Romel Morales ke kelab itu, malam tadi.
Bagaimanapun, video pengenalan pemain kelahiran Colombia itu bersama skuad Harimau Selatan mencuri tumpuan dan mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Video berdurasi 42 saat yang disiarkan di laman media sosial rasmi kelab itu memaparkan Morales sedang menyediakan satu hidangan.
Apa yang mencuri tumpuan peminat apabila penyerang berusia 26 tahun itu memotong lada berwarna merah dan kuning untuk membuat hidangan terbabit sebelum ia dibuang ke dalam tong sampah.
Situasi itu mencetuskan komen ‘nakal’ daripada peminat dengan ada di antara mereka yang membuat tanggapan video berkenaan ditujukan kepada pencabar JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Selangor FC.
Ia susulan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, kelmarin menyindir Selangor dalam satu komen di laman Instagram rasmi kelab, officialjohor.
Menerusi komen itu, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan JDT tidak pernah tewas kepada Selangor selama lapan tahun selain mendakwa juara Piala Malaysia 33 kali itu layak ke Liga Juara-Juara Asia 2 atas bantuan Harimau Selatan.
JDT di laman Facebook kelab, JOHOR Southern Tigers memuat naik gambar Morales dengan dia akan menggunakan jersi nombor 19.
Sebelum menyertai JDT, Morales pernah mewakili beberapa pasukan Liga M termasuk PKNS, Melaka United dan Kuala Lumpur City.
Dia membuat penampilan bersama skuad kebangsaan pada Piala Asia 2023 baru-baru ini dan meledak gol penyamaan Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E.
Kehadiran Morales akan menambah sengat jentera serangan JDT dan dia dijangka bergandingan dengan penyerang import Bergson da Silva dan Fernando Forestieri. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN