Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius serta kesal isu penjualan produk rokok elektronik atau vape di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKMjuga mendapat maklumat, aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan rokok elektronik atau vape menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’ yang kini semakin berleluasa.
Perkara ini sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana produk terbabit direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila rokok elektronik atau vape ini menggunakan cecair bernikotin, yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952,” katanya.
Dalam pada itu beliau memohon ibu bapa untuk memantau anak-anak daripada membeli alat tersebut kerana kelihatan serupa dengan alat permainan kanak-kanak.
“Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka,” katanya.
Tambah beliau lagi, penyelesaian penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’ memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan lain.
“Saya juga ingin menegaskan supaya pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap bertanggungjawab yang tinggi dalam menghasilkan produk mereka,” tegas beliau. – JURNAL