Terbakar lagi! Tular di media sosial rakaman video bangunan Wisma Jakel dijilat api awal pagi tadi.
Kebakaran gedung perniagaan tekstil terkenal cawangan Shah Alam di Seksyen 7 itu kali ini melibatkan stor simpanan kain langsir berkeluasan 30 x 40 kaki persegi di tingkat tiga.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 12.40 tengah malam tadi.
Seramai 43 pegawai dan anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.45 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.07 pagi.
Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.
Menurut Norazam, kerja-kerja ‘overhaul‘ turut dilakukan pihaknya untuk memastikan api padam sepenuhnya.
Pada Ahad, premis sama dilaporkan terbakar 80 peratus, dipercayai akibat litar pintas, memusnahkan bahagian dalam bangunan.
Semalam, susulan pelbagai spekulasi yang timbul, polis menasihatkan orang ramai agar menghormati pihak yang mengalami kerugian serta yang hilang sumber pendapatan dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati. – JURNAL
Sumber: Astro Awani