Seorang kanak-kanak dari Malaysia yang baru berusia empat tahun iaitu Ayden Maleeq telah mengharumkan nama negara selama dua hari berturut-turut selepas berjaya menaiki podium dalam kejohanan push bike terbesar di Jepun iaitu Runbike Championship Series (RCS).
Menerusi perkongsian di akaun Instagram rasmi milik pelumba basikal cilik itu, kejayaan Maleeq membuktikan anak Malaysia juga mampu menduduki podium di kedudukan kedua pada hari kedua kejohanan tersebut berlangsung.
“Badan saya jadi sangat lemah sebab cuaca di sini terlalu sejuk. Saya dah buat yang terbaik.
“Kemenangan ini saya dedikasikan untuk mak dan abah agar kamu berdua berasa bangga.
“Mak dan abah juga asbab kejayaan ini. Saya kamu berdua,” memetik kata-kata dimuat naik di akaun Instagram @maleeq_dragster.
Difahamkan kejohanan disertai bakal cilik terbabit berlangsung pada Januari tahun ini, namun video yang menyaksikan Maleeq menaiki podium kembali tular di media sosial.
[VIDEO]
Sementara itu, menurut akaun IG @bike8.my, rintangan dihadapi anak kecil itu bukan biasa-biasa memandangkan dia terpaksa berlumba dalam keadaan suhu mencecah 1 darjah celsius.
“Cuaca di sini cukup mencabar, Maleeq beraksi dalam keadaan suhu sejuk mencecah 1 darjah celcius.
“Hari pertama dia sudah menunjukkan prestasi cemerlang apabil menduduki tangga ketiga.
“Pada hari kedua pula, Maleeq berjaya memperbaiki kedudukannya apabila naik satu tangga berada di tempat kedua.
“Ini adalah satu kejayaan untuk semua,” memetik kapsyen dikongsikan akaun berkenaan.
Di entri yang sama, pihak Bike 8 juga mengucapkan tahniah buat Maleeq kerana membawa nama Malaysia untuk terus dikenali di mata dunia terutama melibatkan sukan push bike. – JURNAL