Sejak semalam, tular rakaman video Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memukul kepala seorang wanita dengan gulungan kertas.
Gurauan kasar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dalam video berdurasi 18 saat tersebut turut disambut gelak tawa orang sekeliling yang menganggap ia sebagai jenaka biasa.
Bagaimanapun ada juga yang menganggap tundakan Sanusi sebagai tidak wajar.
Tindakan Sanusi turut dianggap tidak beradab oleh Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz.
Amira berkata, perbuatan tersebut bukan gurauan lebih-lebih lagi bersama rakyat.
Kata Amira lagi, Sanusi perlu menjaga adab apabila ingin bergurau dengan rakyat dan tidak menormalisasikan semua perkara sebagai jenaka.
“Jangan normalisasi semua benda sebagai jenaka,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.
Amira Aisya berpandangan, Muhammad Sanusi perlu menunjukkan rasa hormat terhadap rakyat yang mengundi dan memilihnya kerana pengikut akan mengikuti segala perkara yang dibuat pemimpin mereka.
“Pemimpin besar buat, pengikut akan ikut sekali.
“Tunjukkan sedikit rasa hormat,” ujar beliau. – JURNAL