Sejak semalam tular rakaman video pasangan suami isteri warga emas bersama anak mereka disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves.
Seorang pengguna laman sosial yang berkongsi mengenai insiden cemas tersebut mendakwa, pasangan tersebut merupakan peniaga roti nan di Selayang.
Dakwanya lagi, perbuatan menyimbah asid mungkin dilakukan individu yang berdengki dengan pasangan peniaga terbabit.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 3.10 pagi kelmarin.
“Mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan.
“Suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif lalu melarikan diri,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik seorang individu yang mengaku sebagai kenalan mangsa.
Video berkenaan memaparkan seorang suspek berdiri berhampiran mangsa semasa mereka sekeluarga sedang menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.
Mengulas lanjut Noor Arifin berkata, kedua-dua mangsa menjerit kesakitan dan meluru keluar dari lif berkenaan untuk mendapatkan bantuan orang ramai.
Katanya, kedua-dua mangsa di bawa untuk menerima rawatan di Hospital Selayang, di sini selepas meminta bantuan orang awam di lokasi kejadian.
“Salah seorang mangsa ditahan di Hospital Selayang bagi menerima rawatan lanjut dan seorang lagi dibenarkan pulang.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah seorang wanita tempatan yang masih bebas,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nizar Adnan di talian 0149661892. – JURNAL