Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditahan polis di satu lokasi di ibu negara awal pagi ini.
Difahamkan, Pengarah Pilihan Raya Pas itu ditahan polis di sebuah hotel penginapan dalam Lembah Klang dan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pegawai Ahli Dewan Undangan Negeri itu, Helmi Khalid menerusi rakaman video yang dimuat turun dalam laman Facebooknya pagi ini.
Menurutnya, Muhammad Sanusi ketika itu baharu sahaja pulang dari mesyuarat Perikatan Nasional (PN).
Menurut kronologi ditunjukkan individu tersebut, pada pukul 2.30 pagi dipercayai lebih kurang 20 anggota polis berada di luar pintu bilik penginapan Muhammad Sanusi.
“YAB MB dibawa keluar dari bilik penginapan ke bawah. YAB diarah menaiki sebuah MPV menuju ke Balai Polis IPD Gombak,” dakwanya.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
BACA: Hina Sultan Selangor, AMK Akan Buat Laporan Polis Terhadap Sanusi
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor.
Sementara itu, Muhammad Sanusi disahkan berdepan pertuduhan mahkamah pada pagi ini. – JURNAL