Awal minggu ini tular sebuah video di laman sosial hasil perkongsian seorang wanita yang memberitahu sedang menghadiri majlis perkahwinan kedua suaminya sendiri.
Bagaimanapun, video dimuat naik itu mengundang pelbagai reaksi dari kalangan warganet, termasuk kata-kata kesat dilemparkan terhadap pengantin perempuan yang bernama Nurul Nazirah Abdul Hamid.
Enggan melihat madunya terus dicaci, wanita dikenali sebagai Paveena Shaeleen itu tampil bersuara dan menegaskan bahawa perkahwinan tersebut sudah mendapat restu daripadanya selaku isteri pertama.
“Nazirah merupakan kawan baik saya dan saya sendiri yang merisik serta melamarnya untuk suami.
“Kami memang berkawan rapat dan mula kenal di Facebook.
“Boleh dikatakan, hubungan kami macam belangkas sampai malah dia pernah bercuti dengan anak saya sekali.
“Bagaimanapun, dia tak rapat dengan suami pun, setakat kenal macam itu saja.
“Pada satu hari, dia (Nurul Nazihah) tanya ada kerja kosong atau tidak dan kebetulan ada, maka saya ambil dia bekerja sekali untuk kami bersama buat siaran langsung di TikTok,” katanya.
Bertitik tolak daripada situ, Paveena mula mengusik dan menjodohkan suaminya dengan Nazirah.
Tambahnya, suami dan Nazirah pada mulanya hanya tersenyum dan tidak beri maklum balas yang menunjukkan mereka ada perasaan terhadap satu sama lain.
Ditakdirkan, usaha Paveena untuk menjodohkan mereka berdua berhasil dan dia tiada halangan kerana sudah lama mengenali Nazirah dan senang dengan sikap rakannya itu.
“Selepas beri suami ‘lampu hijau’ untuk berkahwin lagi, dia ada juga bawa jumpa beberapa calon.
“Bagaimanapun, semuanya saya tidak berkenan kerana lebih tertarik dengan Nazirah selepas melihat layanannya terhadap anak dan cara cakap dengan emak ayah saya serta suami.
“Daripada situ, kami berbincang dan selepas semua setuju, saya jadi wakil rombongan merisik dan melamar hingga mereka kini sah sebagai suami isteri,” katanya.
Paveena Shaeleen berkata, suaminya dan Nazirah baru berkenalan dan bercinta selepas kahwin.
Berkongsi perasaannya, Paveena Shaeleen berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan yakin suaminya dapat menjalankan tanggungjawab sebaiknya.
“Saya percaya suami saya akan berlaku adil kerana dengan saya, dia layan macam ratu.
“Madu pun begitu jadi saya cuma harap dia bertanggungjawab dan beri layanan sama rata.
“Cemburu itu ada tetapi tidak melampau, cuma setakat berkaitan makanan kerana selera saya dan madu berbeza jadi hanya sering berebut tempat saja.
“Buat masa ini, semuanya baik malah anak-anak pun panggil madu Mummy Naz,” katanya.
Berhubung reaksi netizen, Paveena Shaeleen berkata, ada yang positif dan juga negatif.
“Terima kasih kepada yang doakan kami bertiga, semoga bahagia sampai ke syurga hendaknya.
“Bagi yang berkata negatif, saya tiada komen untuk itu kerana ia pendapat masing-masing,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO