Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini telah menegur aksi beberapa buah kereta mewah Lamborghini yang dipandu secara berbahaya.
Video tular tersebut turut dikongsi laman Instagram Vocket Car Club dan telah menjadi perhatian ramai termasuk Tunku Ismail.
Di ruangan komen, Tunku Ismail atau lebih mesra dengan gelaran TMJ memberi pandangan beliau bahawa pemandu Lamborghini tersebut perlu diajar cara menghormati pengguna jalan raya.
Dalam perkembangan lain Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan semua kereta mewah tersebut sudah disita untuk siasatan lanjut.
Kertas siasatan juga telah dibuka terhadap lima pemandu Lamborghini yang memandu secara bahaya di Lebuhraya Senai-Desaru, Kota Tinggi, kelmarin.
Terdahulu tular video berdurasi 71 saat yang memaparkan beberapa buah kereta Lamborghini yang dipercayai dalam satu konvoi, memotong laluan secara bahaya di SDE.
Dalam pada itu Kamarul Zaman turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan atau undang-undang dan sentiasa berhemah ketika di atas jalan raya.
Mengulas lanjut kes berkenaan, lima pemandu warga tempatan berusia 44 hingga 64 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis, selepas keterangan mereka diambil di IPD Kota Tinggi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – JURNAL