Baru-baru ini tular video seorang pembaca berita di sebuah sebuah stesen penyiaran terkemuka gagal menahan sebak ketika sedang bersiaran langsung.
Norintan Ezreena Amir Hamzah, tidak dapat mengawal emosi ketika menyampaikan berita tentang seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Walaupun suara Norintan tersekat-sekat ketika membaca berita duka tersebut, namun atas dasar profesional dia tetap menghabiskannya sehingga ayat yang terakhir.
Menurut Norintan dia gagal mengawal emosi kerana teringatkan anaknya yang seusia mangsa.
“Ketika saya menyampaikan berita kanak-kanak itu, saya terfikirkan anak saya yang juga berusia empat tahun. Ketika itu naluri saya sebagai seorang ibu tiba-tiba tersentuh.
“Ini bukan kali pertama saya sebak. Sebelum ini pun ada juga berita yang berkaitan dengan anak kecil, warga emas yang menyedihkan membuatkan air mata saya mengalir. Itu normal sebagai seorang manusia. Cuma saya perlu lebih profesional dalam menyampaikan tugasan” katanya. – JURNAL