Sebuah gerai roti canai terkenal di Jalan Transfer, Georgetown diarah tutup selama dua minggu kerana tidak mengikut piawaian kebersihan.
Bernama melaporkan, hasil pemeriksaan pihak berkuasa dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut menemui najis pada telur ayam dan mendapati pekerja gerai tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.
Pemilik gerai berkenaan turut dikenakan kompaun RM500 kerana gagal memastikan pekerjanya menghadiri kursus.
Sementara itu pemilik gerai, Shahjahan Abdul Hamid memohon maaf kepada pelanggan dan akur dengan notis penutupan.
Dalam pada itu, gerai minuman bersebelahan turut didenda RM500 berikutan dikesan mempunyai pencemaran silang pada peti penyimpanan ais.
Difahamkan, pemeriksaan dilakukan ke atas premis tersebut pada pukul 11 pagi Isnin.
Notis penutupan telah dikeluarkan berkuat kuasa serta-merta di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan akan berkuat kuasa sehingga 16 Januari. – JURNAL