Petugas Jabatan Perhilitan Melaka (Perhilitan) sambil dibantu anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira lima jam untuk menangkap seekor tapir betina yang tersesat masuk ke sebuah hotel di Bandar Hilir semalam.
Kehadiran haiwan dengan nama saintifiknya Tapirus Indicus itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan penginap di situ apabila muncul di tingkat lima hotel terbabit kira-kira jam 9 pagi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Mohd Sofian Hassan, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.04 pagi sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, setiba di lokasi pasukan bomba mendapati benar terdapat seekor tapir berada di dalam kawasan premis itu dan dipercayai gagal mencari jalan keluar.
“Susulan itu, Jabatan Perhilitan dimaklumkan mengenai kehadiran haiwan itu dan mendapatkan bantuan bagi operasi menangkap.
“Keadaan haiwan berkenaan ketika itu sedikit agresif dan kami meminta kepada pengurusan hotel untuk tidak membenarkan pengunjung meletakkan kereta di kawasan itu.
“Jabatan Perhilitan juga terpaksa membius tiga kali sebelum ia rebah, selain ada sebuah kereta pengunjung yang mengalami kerosakan akibat disondol,” katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perhilitan Melaka, Mohd Firrdhaus Mahmood, berkata pasukannya sudah bersedia di lapangan untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menangkap haiwan seberat kira-kira 250 kilogram itu susulan beberapa aduan yang diterima sebelum ini.
“Sebenarnya kita sudah mendapat maklumat mengenai kehadirannya sejak dua minggu lalu tetapi tidak dapat mengesan kedudukan sebenar haiwan itu.
“Kita syak ia tersesat selepas keluar dari hutan untuk mencari makanan sebelum berkeliaran dan sampai ke tingkat lima hotel dengan melalui tangga bahagian tepi hotel,” katanya.
Beliau berkata, tapir yang juga haiwan dilindungi sepenuhnya itu, dipercayai datang dari sempadan negeri di kawasan Asahan, Jasin.
“Untuk sementara ia akan diletakkan di Zoo Melaka sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak,” katanya. – JURNAL
Sumber: Berita Harian