Pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan supaya Pejabat Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dikosongkan buat sementara waktu ekoran tanah runtuh yang berlaku pada Selasa lalu.
Susulan itu, semua kakitangan MACA dibenarkan bekerja dari rumah.
Mengulas mengenai tragedi tersebut, Pengarah MACA, Datuk Idris Zaharudin, menyifatkan kejadian itu mengejutkan dan bersifat di luar jangkaan pengurusan akademi berkenaan.
Katanya, pengurusan MACA sentiasa memastikan keadaan bangunan dan kawasan sekitar berada dalam keadaan baik, termasuk di cerun yang ada di sekitar akademi berkenaan.
“Kita memberi perhatian pada cerun di bangunan akademi, malah sepanjang tahun kita melaksanakan pelbagai pemeriksaan di bahagian yang berisiko disebabkan lokasi akademi berada di kaki bukit. Sudah tentu banyak perkara yang perlu dijaga dan dipantau.
“Bagaimanapun, apabila kejadian tanah runtuh di yang mengakibatkan laluan ke dalam MACA dan pondok pengawal runtuh, ia mengejutkan dan di luar jangka,” katanya.
Bagaimanapun tiada sebarang tanda atau kerosakan dikesan di sekitar bangunan(MACA) sebelum kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan premis itu, tengah hari kelmarin.
Kejadian dikatakan berpunca daripada takungan air, susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu, serta paip bawah tanah pecah, yang turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.
Idris, yang juga Timbalan Pesuruhjaya SPRM berkata, beliau enggan mengulas lanjut punca kejadian itu kerana siasatan masih dijalankan oleh pasukan teknikal.
“Runtuhan ini membabitkan struktur di bahagian pintu masuk utama dan kawasan cerun yang memerlukan kepakaran seperti geosains untuk membuat kajian yang terperinci,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan kejadian runtuhan cerun di MACA disebabkan kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air di kawasan itu. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE