Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin, menetapkan prosiding kes lafaz cerai pengarah, Syamsul Yusof terhadap isterinya, Puteri Sarah pada 18 April ini.
Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas berhubung status Jawatankuasa Pendamai (JKP), peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah, 38, berkata, Syamsul dan Puteri Sarah, telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan dengan cara baik serta aman.
@jurnal.malaysia Semoga ini jalan terbaik buat mereka👍🏻 🎥: @officialhlive #jurnal #jurnalmalaysia #news #recent #current #no1 #local #trending #viral #fyp #syamsulyusof #akberdin #puterisarahliyana ♬ original sound – Jurnal Malaysia
Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut, antaranya hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, eddah dan harta sepencarian.
Iklan
“Kedua-dua pihak sudah selesaikan masalah rumah tangga secara aman dan baik. Jadi, minggu depan untuk mengesahkan perjanjian dan lafaz cerai.
“Tarikh baharu ditetapkan pada 18 April ini untuk mencari persepakatan mengenai terma yang sudah dibincangkan. Pada hari itu juga, kami akan rekod di mahkamah rendah dan tinggi kerana membabitkan anak-anak.
“Anak-anak di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi. Selepas lafaz cerai, kami akan rekod ke mahkamah tinggi untuk isu hadanah dan selepas itu, akan dijadikan perintah mahkamah,” katanya.
Ditanya mengenai proses JKP, Akberdin berkata, semuanya sudah selesai kerana kedua-dua pihak sudah menyatakan persetujuan untuk muktamad tarikh perceraian.
“Pada tarikh akan datang, Syamsul akan lafazkan cerai kerana sudah ada persetujuan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan Puteri Sarah melalui proses JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menemui jalan buntu pada 24 Mac lalu.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Proses JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE