Siapa sangka pemilik nama Lee Thiam Wah yang juga pengasas kepada rangkaian runcit 99 Speedmart, dulu hanya merupakan peniaga jajan di tepi jalan.
Mula mengumpul wang simpanan hasil jualan makanan ringan sedikit demi sedikit sehingga ia berjumlah RM17,000 pada usia 23 tahun.
Wang simpanan itu digunakannya untuk membuka sebuah kedai runcit yang bernama Pasar Raya Hiap Hoe, sekali gus menjadi permulaan kerjaya beliau di dalam industri peruncitan.
Thiam Wah menjual Pasar Raya Hiap Hoe dengan harga RM38,000 pada tahun 1992.
Beliau kemudiannya menubuhkan pasar mini 99 di Klang Utama, langkah pertamanya merealisasikan visi untuk membina sebuah rangkaian pasar raya yang bersepadu.
Apabila populariti pasar mini 99 semakin
meningkat, Thiam Wah kemudiannya menjenamakan semula pasar mini 99 kepada 99 Speedmart pada tahun 2000.
Hari ini, dengan usaha keras yang dituai, Lee Thiam Wah muncul sebagai pemegang saham besar dalam Alliance Bank Malaysia Bhd, dengan 5.076 peratus kepentingan.
Makluman dalam Bursa Malaysia pada Jumaat lalu menunjukkan bahawa syarikat beliau, Global Success Network Sdn Bhd membeli 1.38 juta saham atau 0.0089 peratus kepentingan dalam pasaran terbuka pada Khamis, melonjakkan sahamnya dalam bank itu kepada 5.076 peratus.
Thiam Wah juga adalah pemegang saham terbesar Alliance Bank selepas Vertical Theme Sdn Bhd (29.06 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 10.5 peratus. – JURNAL
Sumber: BH Online