Rasa cemburu dipercayai menjadi motif kes letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah, Ampang Jaya yang membunuh seorang tukang masak.
Terdahulu, sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki suspek dalam kes berkenaan yang berlaku pada Khamis lalu.
Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun dan isterinya, 30, ditahan di Serdang, Kedah, malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Pasangan terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 10 Januari ini.
Sumber memaklumkan, setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu lelaki yang ditahan terhadap mangsa.
Dalam kejadian jam 8.50 malam, pada 29 Disember lalu, seorang tukang masak sebuah restoran di Pandan Indah, maut selepas membuka sebuah bungkusan yang diletakkan atas bonet keretanya.
Bungkusan berkenaan kemudian meletup secara tiba-tiba yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian badan dan tangannya.
Mangsa maut pada jam 9.50 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis juga mengesyaki kemahiran membuat bahan letupan dipelajari menerusi media sosial.
Klip rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) kejadian itu turut tular di laman sosial. – JURNAL