Sebanyak sembilan buah rumah di Kampung Wireless Jalan Permaisuri, Miri, Sarawak musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi pada Jumaat.
Maklumat awal dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran terbabit kira-kira jam 7.15 pagi.
“Dianggarkan sembilan buah rumah jenis tidak kekal berstruktur kayu musnah dalam kebakaran ini dimana enam rumah musnah 100 peratus, dua buah rumah terbakar 50 peratus manakala sebuah rumah terbakar 20 peratus.
Anggota bomba masih menjalankan operasi mengawak dan memadam kebakaran.
“Kebakaran menjejaskan kira-kira 80 orang penghuni daripada 12 keluarga yang menduduki rumah terjejas terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
PGO memberitahu kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran rumah masih dijalankan di lokasi kejadian oleh tiga balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, BBP Lopeng dan BBP Lutong dengan kekuatan 23 pegawai bomba.
“Pasukan pemadaman bertindak membentangkan dua aliran 800 kaki, enam nozel sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Pemadaman juga turut dibantu menggunakan pam angkut dan kapal nelayan milik persendirian penduduk kampung dengan satu aliran dua nozel,” ujarnya. – JURNAL
Sumber: Utusan Borneo