Sejak pagi tadi, tular rakaman memapakan tiga beradik perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik di halaman rumah mereka di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat, Kelantan.
Menerusi video yang dirakam seorang anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelihatan tiga mayat terlentang dalam air banjir.
Menurut perakam, tiga beradik tersebut maut akibat wayar elektrik koyak yang terjatuh di atas atap zink rumah sebelum salah seorang daripada mereka memegang tiang rumah dan terkena renjatan.
Renjatan tersebut dikatakan turut terkena pada dua lagi mangsa yang berada di hadapan rumah.
“Wayar koyak terkena di zink rumah, tiga meninggal dunia di Morak. Innalillahi-wainnaillahirojiun…Sekarang ini kami (TNB) datang potong api (hentikan elektrik) dan ambulans pun baru sampai,” kata lelaki berseragam TNB.
Tragedi menyayat hati itu berlaku pagi tadi dan kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 27 tahun maut serta merta di lokasi kejadian itu, kira-kira jam 11.45 pagi.
Dalam pada itu di media sosial, rata-rata pelayar menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Sedihnya, tak sanggup nak tengok video sampai habis. Semoga kesemua mereka ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” antara yang ditulis warganet. – JURNAL